Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 2 Disember 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

MB: Manfaat media sosial untuk ketengah bakat, kongsi kepakaran

OLEH SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SHAH ALAM, 3 DIS: Media sosial memberi peluang kepada pengguna menyerlahkan bakat, berkongsi maklumat dan pendapat serta mempromosi produk justeru kelebihan itu perlu dimanfaatkan sebaiknya, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata mengambil contoh seorang penulis luar negara Diana Darke, perkongsian wanita itu di laman Twitter menjadi pencetus bermula penerbitan buku yang kini diterjemahkan ke dalam bahasa Arab, Perancis, Jerman, Cina, Jepun, dan India.

“Saya membaca hasil tulisannya, ‘Stealing from the Saracens: How Islamic Architecture Shaped Europe’ yang mana di dalamnya beliau bercakap bagaimana bukunya muncul.

“Ia bermula selepas kebakaran tragis di Notre-Dame de Paris pada 15 April 2019. Darke, sebagai pakar Syria dan budaya Timur Tengah menulis tweet di akaunnya menyatakan bahawa reka bentuk seni bina Notre-Dame berhutang besar kepada orang terdahulu Timur Tengah.

“Reaksi terhadap tweetnya dalam masa beberapa minit adalah mengejutkan dan beliau memutuskan untuk menerangkan pengetahuannya dengan lebih lanjut,” katanya.

Berucap merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 Amirudin berkata ilmu pengetahuan dan pendidikan sempurna adalah sangat penting.

“Di negara ini dan Selangor, kami percaya pendidikan sempurna membolehkan rakyat mendapat kehidupan lebih baik dan itulah yang sentiasa menjadi nadi penganjuran pesta buku ini,” katanya.


Pengarang :