Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Kebudayaan & Warisan Borhan Aman Shah (lima, kiri) bersama kakitangan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) pada Majlis Pelancaran Batik Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 1 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MB: Pemakaian baju Batik Selangor dicadang dalam sidang dewan negeri

SHAH ALAM, 1 DIS: Baju Batik Selangor bermotifkan bunga tanjung kelopak sembilan dicadang untuk dipakai dalam persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) seperti dilaksana pada peringkat Parlimen, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata baju tersebut merupakan karakter yang rapat dengan Selangor selain melambangkan identiti negeri.

“Baju batik ini mungkin digunakan pada waktu-waktu tertentu seperti sidang DNS atau mesyuarat EXCO. Dengan pemakaiannya kita ada pakaian yang seragam.

“Dewan masih lagi belum menukar peraturan namun apabila sudah berbuat demikian kita akan benarkan penggunaannya,” katanya ditemui selepas majlis pelancaran Batik Selangor di Bangunan Annex hari ini.

Menerusi majlis tersebut, Amirudin menyerahkan baju itu kepada EXCO Kerajaan Negeri.

Baju batik menampilkan corak bunga tanjung kelopak sembilan yang bakal dijadikan identiti rasmi negeri dihasilkan dengan kerjasama Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) dan Kraftangan Malaysia.

Pemakaian baju terbabit dimulakan dengan penjawat awam dan diikuti pimpinan ketua kampung, ahli majlis dan akar umbi supaya dapat dipopularkan.


Pengarang :