Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau barangan jualan di pasar pagi Selayang Baru, Gombak pada 12 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Peniaga pasar pagi Selayang Baru dipindah ke tapak lebih teratur, selesa

GOMBAK, 12 DIS: Kira-kira 40 peniaga di pasar pagi Selayang Baru, dekat sini bakal ditempatkan di tapak khas bagi membolehkan operasi perniagaan berjalan lancar.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata proses permohonan tanah baharu tersebut sudah dilaksana dan lokasinya berhampiran dengan tapak perniagaan asal.

“Pasar ini dikendalikan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama). Kita berhasrat susun semua peniaga supaya lebih kemas dan terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat pasar terbabit bersama Pegawai Daerah Gombak Nor Azlina Abdul Aziz dan Pengarah Fama Kuala Lumpur A Rahman Suleiman hari ini.

Selain beramah mesra dengan peniaga, Amirudin turut meninjau sistem saliran longkang kawasan berkenaan susulan kejadian banjir kilat yang kerap berlaku.

Pasar pagi terbabit yang menjual keperluan harian seperti ayam, ikan, buah dan sayuran dibuka setiap hari dari 7 pagi hingga 12 tengah hari.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau keadaan longkang yang sempit menyebabkan kerap berlaku banjir kilat di sekitar pasar pagi Selayang Baru, Gombak pada 12 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :