Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 1 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Pentadbiran bergerak secara kolektif, subur demokrasi dalam negeri

SHAH ALAM, 1 DIS: Dato’ Menteri Besar bertekad membawa Selangor menjadi sebuah pentadbiran yang kolektif dan bukan bersifat oligarki atau bergerak sendirian (one man show).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penglibatan lebih 30 wakil rakyat dalam perbahasan Belanjawan 2023 termasuk daripada pembangkang diyakini membawa negeri ini ke arah lebih baik.

“Saya anggarkan 32 wakil rakyat berbahas Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan 2023 atau Belanjawan 2023. Ini menunjukkan begitu subur demokrasi dalam negeri dan aktif dalam pelaksanaan serta fungsi ahli dewan dalam berbahas sama ada wakil rakyat pembangkang mahupun kerajaan.

“Masing-masing mengeluarkan buah fikiran dan pandangan supaya belanjawan ini dilihat secara menyeluruh dan kolektif. Amalan ini memberi gambaran sepenuhnya hasrat dan cita-cita negeri,” katanya ketika penggulungan Belanjawan 2023 pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Pada Jumaat, Kerajaan Selangor memperuntuk RM2.45 bilion dalam Belanjawan 2023 sebagai persediaan mendepani kelembapan ekonomi tahun depan.

Dato’ Menteri Besar berkata keseluruhan jumlah tersebut tinggi sedikit berbanding tahun lalu iaitu RM2.34 bilion.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, sebanyak RM1.25 bilion atau 51 peratus diperuntuk bagi perbelanjaan mengurus dan 1.2 bilion lagi untuk pembangunan.

Kerajaan Negeri juga menganggarkan hasil yang boleh dikutip pada tahun depan berjumlah RM2 bilion.

 


Pengarang :