Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas majlis prapelancaran aplikasi mudah alih HalalSel di Dewan Annex, Shah Alam pada 30 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

MB perjelas isu bina sekolah menengah persendirian Cina (VIDEO)

SHAH ALAM, 30 DIS: Bantuan Kerajaan Negeri terhadap usaha membina sebuah sekolah menengah persendirian Cina dilakukan berikutan tiada institusi sedemikian di luar Klang.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menambah permintaan untuk membina sebuah lagi sekolah dibuat sejak beberapa tahun lalu berikutan semua empat institusi pendidikan berkenaan terletak di daerah tersebut.

Menyatakan Jabatan Agama Islam Selangor menerima dana hampir RM100 juta setiap tahun untuk sekolah agama, beliau berkata sebilangan masyarakat Tionghoa mahu mendapatkan pendidikan di sekolah menengah persendirian.

“Justeru, sejak beberapa tahun lalu, Kerajaan Negeri mengenal pasti satu lagi tanah di luar Klang bagi memberi peluang kepada mereka untuk dapatkan sekolah menengah persendirian Cina yang kelima,” katanya

Amirudin juga kesal berikutan ada pihak tidak bertanggungjawab yang mempertikai hasrat pentadbiran negeri untuk membantu usaha membina sekolah tersebut dengan mempolitikkan perkara itu menerusi media sosial.

“Ia berdasarkan laporan berita akhbar berbahasa Inggeris yang terhasil daripada jawapan saya kepada Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Baru berkenaan usaha dan permintaan untuk buka satu lagi sekolah persendirian Cina di Selangor,” katanya.

Beliau dalam rakaman di Twitter hari ini juga memaklumkan peruntukan tambahan RM1.5 juta diberi kepada sekolah kebangsaan selain dana RM100 juta untuk sekolah Kelas Al-Quran Fardu Ain (Kafa) dan Kafa Integrasi setiap tahun.


Pengarang :