Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 5 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

MB: Pustaka awam di Taman Sri Ampang dijangka siap April 2023

SHAH ALAM, 5 DIS: Pembinaan perpustakaan awam di kawasan perumahan Taman Sri Ampang yang mengalami sedikit kelewatan dijangka siap April tahun depan, maklum Dato’ Menteri Besar.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, projek yang tertunda akibat kontraktor lama tidak mampu menyiapkan binaan dalam tempoh ditetapkan dijalankan semula pada 4 November lalu.

Beliau memaklumkan keadaan semasa di tapak binaan setakat ini ialah 52 peratus berbanding dalam jadual anggaran yang sepatutnya mencapai 64 peratus sehingga 7 November.

“Kontraktor baharu dilantik pada 2 November dan memulakan kerja pada 4 November. Terdapat kelewatan sekitar 12 peratus daripada jadual asal yang ditetapkan,” katanya menjawab soalan wakil rakyat Lembah Jaya Haniza Mohamed Talha pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Pembinaan perpustakaan itu menggantikan bangunan lama yang dipindahkan dari lokasi asal bagi memberi laluan kepada projek pembangunan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

 


Pengarang :