Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media pengumuman jawatan timbalan menteri di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya pada 8 Disember 2022. Foto AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri
AGENDANASIONAL

MB sambut baik lantikan kabinet, kompromi kerajaan perpaduan

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SHAH ALAM, 9 DIS: Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor menyambut baik senarai kabinet yang diumum perdana menteri malam tadi.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata walaupun hanya dua menteri dan satu timbalan menteri daripada HARAPAN Selangor dilantik beliau percaya dengan kebijaksanaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membuat percaturan.

“Perlu diingat kerajaan ini adalah Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan dari pelbagai kumpulan yang terhasil akibat daripada ketidakwujudan kumpulan tunggal yang boleh membentuk kerajaan.

“Jadi kompromi untuk menetapkan calon menteri dan timbalan menteri itu semua harus diambil kira (daripada semua gabungan),” katanya ditemui selepas satu majlis di i-City di sini malam tadi.

Anwar mengumumkan senarai barisan timbalan menteri yang turut menyaksikan ahli parlimen Sepang, Aiman Athirah Sabu dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Pada 2 Disember lalu, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu (ahli parlimen Kota Raja) dilantik sebagai menteri pertanian dan keterjaminan makanan dan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Rafizi Ramli (ahli parlimen Pandan) sebagai menteri ekonomi.


Pengarang :