Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan Karnival Al Amin 2022 di Sungai Pusu, Gombak pada 10 Disember 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB saran Pusat Pendidikan Al Amin teroka bidang teknikal, vokasional

Oleh Azian Aziz

GOMBAK, 11 DIS: Pusat Pendidikan Al Amin Berhad disaran untuk meneroka bidang pengajian tinggi bagi memberi pilihan kepada pelajarnya untuk menyambung pelajaran.

Dato’ Menteri Besar berkata cadangan tersebut wajar dipertimbangkan kerana pusat pendidikan itu mempunyai pelajarnya sendiri yang dididik dengan falsafah berteraskan tauhid sejak daripada awal.

“Di Al Amin ada pendidikan awal, rendah dan menengah jadi mungkin selepas ini mereka boleh ditambah baik kepada pendidikan peringkat ketiga sama ada pendidikan teknikal dan vokasional atau
universiti kerana keperluan-keperluan ini ada,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Karnival Al Amin di Kompleks Pendidikan Al Amin, Batu 8, Jalan Sungai Pusu, semalam.

Menurut Amirudin, saranan tersebut mungkin dapat membantu para pelajar pusat pendidikan itu yang menyambung pengajian dalam bidang teknikal dan vokasional mengisi ruang pekerjaan dalam bidang tersebut yang memang diperlukan.

Kompleks Pendidikan Al Amin merangkumi sekolah rendah dan menengah dengan jumlah keseluruhan murid serta pelajar kira-kira 1,200 orang.

Pusat Pendidikan Al Amin menerapkan proses pendidikan berteraskan tauhid bagi membina dan melahirkan insan rabbani, berilmu dan berakhlak mulia serta berkebolehan membentuk keyakinan diri, masyarakat, negara dan dunia seperti dituntut al-Quran dan sunnah melalui sistem pendidikan seimbang, bersepadu, menyeluruh dan berterusan.


Pengarang :