Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan pada Majlis Apresiasi Jelajah Ehsan Rakyat di Wisma PKPS, Shah Alam pada 13 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Serah insiden taman tema pada negeri, elak berulang lagi

SHAH ALAM, 14 DIS: Siasatan aspek keselamatan berhubung insiden taman tema di Puncak Alam yang mencederakan tiga individu perlu dibuat dan diserahkan kepada Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar berkata laporan itu perlu diteliti semua pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya kejadian terbabit tidak berulang lagi.

“Saya minta satu laporan dan siasatan dibuat. Walaupun tidak melibatkan kehilangan nyawa namun tetap mendatangkan kecederaan.

“Kalau kejadian ini beri kesan, bermakna semua kena bertanggungjawab. Jadi PBT kena prihatin dan semak piawaian sebelum beri kelulusan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Jelajah Ehdan Rakyat semalam.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han memaklumkan taman tema terbabit beroperasi tanpa kelulusan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).

Beliau berkata tindakan penguatkuasaan telah diambil MPKS termasuk mengenakan kompaun dan menyita lokasi kejadian.

Dalam kejadian malam kelmarin tiga pengunjung termasuk seorang kanak-kanak cedera selepas terjatuh daripada satu permainan taman tema di Eco Grandeur, Bandar Puncak Alam.

Ketika kejadian, ketiga-tiga mangsa menaiki permainan ‘Sotong Ride’ yang sedang berpusing.


Pengarang :