Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ditemui media selepas menyampaikan hadiah Program Tokoh Nilam peringkat daerah Petaling Perdana di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 pada 7 Disember 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB setuju semak tetapi Selangor perlukan projek elak banjir

SHAH ALAM, 7 DIS: Dato’ Menteri Besar melihat memang ada kewajaran perdana menteri mengarahkan projek tebatan banjir RM7 bilion disemak setelah ia dilulus melalui rundingan terus oleh kerajaan terdahulu.

“Itu prosesnya (meneliti semula kelulusan). Perdana menteri ingin lihat balik (projek itu melalui) proses tender terus atau proses lantikan terus,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Bagaimanapun Amirudin berharap peruntukan tebatan banjir di Selangor yang bernilai RM4.7 bilion seperti diumumkan kerajaan terdahulu dapat diteruskan.

“Proses itu mungkin boleh disemak, tapi keperluannya kepada Selangor memang ada dan sangat penting. Kita memang perlukan projek itu untuk mengurangkan risiko banjir khususnya pada musim tengkujuh,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melawat Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini hari ini.

Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion yang diluluskan kerajaan terdahulu dihentikan sementara menunggu semakan semula.

Walau perdana menteri tidak menyebut lokasi projek tersebut, Amirudin semalam dilaporkan berkata Kerajaan Negeri akan mendapatkan maklumat daripada Kementerian Kewangan.


Pengarang :