Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) melawat tapak pelupusan sampah haram di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, Subang Jaya pada 5 Disember 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Tanah dijadikan tapak sampah haram dirampas jika pemilik enggan kerjasama

SERI KEMBANGAN, 5 DIS: Kerajaan Selangor akan merampas 15 lot tanah berkeluasan lebih sembilan hektar di Taman Puncak Jalil dekat sini, yang menjadi tapak pelupusan sampah haram jika pemilik enggan bekerjasama.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Notis 8A, Seksyen 130 Kanun Tanah Negara 1965 akan dikenakan sekiranya pemilik menghalang proses pemulihan tanah dilaksanakan.

“Isu di sini bukan tanah kerajaan (tetapi) tanah hak milik. Jadi proses rampasan memerlukan proses penyerahan borang 7A dan ia sudah dikeluarkan kepada pemilik untuk memulihkan pelanggaran syarat tanah berkenaan.

“Manakala Notis 7B akan dikeluarkan bagi siasatan dan mendapatkan pengesahan terhadap pemulihan yang sudah dibuat. Selepas itu kita memerlukan minimum dua tiga bulan untuk melakukan sepenuhnya proses rampasan,” katanya.

Ditemui selepas meninjau tapak berkenaan hari ini, Amirudin berkata pusat pelupusan sampah haram terbabit sudah dihentikan operasi lebih setahun lalu, namun longgokan sisa ditinggalkan mengalirkan air larut resap hingga menyebabkan bau busuk.

“Sampah yang dibuang sudah lebih enam tujuh tahun lepas dan setahun lebih tidak beroperasi. Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) sebelum ini beberapa kali mengeluarkan saman RM25,000 dan semuanya dibayar.

“Kita juga sudah pasang penghadang konkrit dan itu juga dipecahkan,” katanya lagi.

Tapak pelupusan sampah haram di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, Subang Jaya. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :