Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari bertemu orang ramai pada kenduri rakyat di tapak kendera saji Greenwood pada 11 Disember 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Tawaran 10,000 komputer riba mula dilaksana, isu strata pangsapuri Sri Gombak selesai Jan

Oleh Azian Aziz

GOMBAK, 12 DIS: Sebanyak 100 tablet dan komputer riba untuk untuk kegunaan anak muda dan pelajar di Parlimen Gombak diagihkan dalam tempoh dua minggu lagi, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Ahli Parlimen Gombak berkata pemberian peranti tersebut adalah permulaan kepada tawaran 10,000 tablet dan komputer riba bagi tujuan pendidikan dan keusahawanan ketika kempen pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Kepada orang Gombak, saya tidak lupa janji saya dalam tempoh lima tahun ada 10,000 tablet dan komputer riba untuk kegunaan anak muda dan pelajar,” katanya ketika berucap dalam kenduri rakyat di tapak kendera saji Greenwood malam tadi.

Ribuan rakyat hadir dalam majlis tersebut yang diadakan bagi meraikan kemenangan Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Amirudin di Parlimen Gombak pada PRU15.

Ketika kempen PRU15,  Amirudin menawarkan 10,000 komputer riba dan peranti bagi tujuan pendidikan dan keusahawanan di Gombak.

Beliau berkata 2,000 unit diagih setiap tahun kepada golongan kurang berkemampuan supaya mereka dapat mengikuti pembelajaran dan perniagaan dalam talian.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar berkata beberapa isu berkaitan hak milik strata kediaman di kawasan Sri Gombak diselesaikan bermula Januari ini.

“Menjelang Januari ini kita akan selesaikan isu hak milik strata di Pangsapuri Kenanga, Chempaka dan kawasan sekitar Sri Gombak,’’ katanya.

Pada 4 November, Amirudin dalam majlis minum petang di Gombak memaklumkan Kerajaan Negeri akan menampung kos RM2.2 juta bagi menyelesaikan isu hak milik strata tiga pangsapuri di Taman Gombak Permai yang telah dibina sejak 2005 iaitu Kenanga, Beringin dan Cempaka.


Pengarang :