Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Besut membantu memindahkan pasangan warga emas yang mengalami masalah angin ahmar dengan menggunakan bot di Kampung Baroh Masin, Hulu Besut pada 18 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

MB Terengganu hargai Selangor hulur bantuan banjir RM500,000

KUALA TERENGGANU, 20 DIS: Kerajaan Terengganu menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Selangor atas keprihatinan dan sumbangan RM500,000 untuk membantu mangsa banjir di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut menyatakan penghargaan kerajaan negeri atas kesudian Kerajaan Selangor menawarkan khidmat bantuan kemanusiaan pascabanjir melalui Skuad Pasukan Tindakan Segera (Pantas) dan Sukarelawan Selangor (SERVE).

“Ribuan terima kasih kepada agensi-agensi kerajaan, NGO (pertubuhan bukan kerajaan) serta sukarelawan termasuk JPKK (Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung) dan orang kampung yang terlibat dalam misi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir,” kata Ahmad Samsuri dalam hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari hari ini mengumumkan kerajaan negeri itu akan menyumbangkan bantuan kewangan sebanyak RM500,000 masing-masing kepada kerajaan Kelantan dan Terengganu untuk membantu mangsa banjir.

Beliau berkata bantuan itu bagi meringankan beban atas musibah yang melanda kedua-dua negeri berkenaan selain bersimpati dengan nasib rakyat.

-BERNAMA

 


Pengarang :