Salah seorang mangsa yang terkorban dibawa keluar dari lokasi tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Batang Kali, Hulu Selangor pada 16 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB ucap takziah buat keluarga mangsa korban tanah runtuh

SHAH ALAM, 16 DIS: Dato’ Menteri Besar mengucap takziah kepada semua keluarga mangsa terkorban tragedi tanah runtuh di Father Organic Farm, sebuah tapak perkhemahan di Kampung Kuantan, Batang Kali, Hulu Selangor.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga 12 mangsa yang telah meninggal dunia akibat tragedi ini; tiga kanak-kanak, tujuh wanita dan dua lelaki,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga menjelaskan seramai 60 orang melibatkan 46 pengunjung dan 14 pekerja diselamatkan setakat jam 12 tengah hari, daripada anggaran keseluruhan 94 mangsa yang terlibat dalam runtuhan tersebut.

Terbaru, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor mengesahkan 16 mangsa maut manakala 77 lagi diselamatkan setakat jam 1 tengah hari.

Amirudin menambah operasi mencari dan menyelamat 22 mangsa yang belum dikesan giat dijalankan melibatkan 446 anggota bomba selain dibantu pelbagai agensi lain.

Katanya, agensi kerajaan dikerah ke lokasi kejadian pagi tadi bagi menyelaras bantuan dari Kerajaan Selangor melalui Unit Pengurusan Bencana Negeri supaya mangsa belum dikesan dapat dicari segera.

“Mohon doa daripada seluruh rakyat agar pasukan mencari dan menyelamat dilindungi Allah SWT supaya setiap mangsa yang belum dikesan dapat diselamatkan,” katanya.

Beliau juga akan meninjau lokasi kejadian malam ini bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Pengarang :