Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor beramah mesra bersama pelajar pada Majlis Penyampaian Sijil Penyertaan dan Anugerah Kecemerlangan Pelajar Umbi di Sekolah Kebangsaan Sungai Manggis, Kuala Langat pada 30 November 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MBI agih peruntukan bantuan sekolah kepada DUN minggu depan

SHAH ALAM, 8 DIS: Dewan Undangan Negeri (DUN) yang memohon bantuan Kembali ke Sekolah di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan menerima peruntukan minggu depan.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporatnya berkata sehingga tarikh tutup pada hujung November, lebih 40 DUN menghantar permohonan bagi mendapatkan sumbangan berjumlah RM30,000.

“Sekarang proses semakan dokumen sedang berjalan. Ada permohonan yang ditolak melibatkan dokumentasi namun diberi masa hingga esok untuk dilengkapkan.

“Urusan serahan kepada penerima layak ditentukan sendiri oleh pihak DUN mengikut pilihan sendiri,” kata Ahmad Azri Zainal Nor kepada SelangorKini.

Menerusi inisiatif anak syarikat Kerajaan Negeri, seramai 300 murid dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah di setiap DUN akan terima bantuan RM100 bagi melengkapkan keperluan sekolah.

Permohonan dibuka sepanjang November menetapkan had pendapatan baharu pemohon bawah RM4,000 berbanding RM2,500 sebelum ini.


Pengarang :