MBI menyerahkan sumbangan RM10,000 kepada Sekolah Kebangsaan Seri Kelana, Petaling Jaya untuk menampung kos membina susur gajah baru-baru ini. Foto Facebook Ahmad Azri Zainal Nor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MBI belanja RM1.5 juta bantu hampir 100 sekolah sedia kemudahan

SHAH ALAM, 13 DIS: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI membantu hampir 100 sekolah sepanjang tahun ini dalam membangunkan infrastruktur demi keselesaan pelajar.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporatnya Ahmad Azri Zainal Nor berkata bantuan melibatkan dana RM1.5 juta dibuat secara tahunan bagi memastikan sekolah mendapat kemudahan terbaik.

“Minggu lalu kita serahkan sumbangan RM10,000 kepada Sekolah Kebangsaan Seri Kelana, Petaling Jaya untuk menampung kos membina susur gajah.

“Inisiatif dapat memberi keselesaan kepada murid dan ibu bapa ketika menghantar dan mengambil anak terutama ketika hujan,” katanya kepada Selangorkini.

Awal tahun ini, Ahmad Azri memaklumkan peruntukan RM1 juta kepada sekolah merangkumi RM500,000 untuk pembangunan infrastruktur dan selebihnya bagi program Persatuan Ibu Bapa dan Guru.

Sepanjang tahun lalu, MBI membelanjakan RM30 juta untuk menjayakan pelbagai program antaranya Data Internet Selangor, Program Tuisyen Rakyat Selangor, rebat pengangkutan ke pusat pemberian vaksin, Program Kembali ke Sekolah serta bantuan sempena sambutan Deepavali dan Krismas.


Pengarang :