Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor (empat dari kanan) dan Ahli Dewan Negeri Dr G Gunaraj bergambar bersama penerima sumbangan komputer riba pada Majlis sumbangan komputer riba di Pusat Khidmat DUN Sentosa, Klang.pada 22 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MBI belanja RM20,000 hulur komputer riba kepada 16 pelajar B40

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

KLANG, 22 DIS: Seramai 16 pelajar dari keluarga berpendapatan rendah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa menerima sumbangan komputer riba daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata pihaknya memperuntukkan kira-kira RM20,000 untuk sumbangan berkenaan.

“Kali ini kita bekalkan 16 unit komputer riba kepada pelajar yang memohon melalui Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sentosa.

“Program ini memang sentiasa berjalan dan MBI terima permohonan secara berkala daripada pejabat Ahli Dewan Negeri (ADN). Kita juga ada terima permohonan individu melalui emel atau surat yang mana semakan akan dibuat sebelum kelayakan ditentukan,” katanya hari ini.

Terdahulu beliau menyerahkan sumbangan berkenaan di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sentosa yang turut disertai wakil rakyat Sentosa Dr G Gunarajah

Menurut Ahmad Azri, sumbangan kali ini merupakan kali kedua pihaknya memberikan komputer riba kepada pelajar yang memerlukan di DUN berkenaan.

“Antara kriteria yang ditetapkan adalah permohonan perlu daripada keluarga berpendapatan isi rumah di bawah RM4,000,” katanya.


Pengarang :