Ketua Pegawai Eksekutif, Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Norita Mohd Sidek (tengah) bersama Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Selangor Mohd Razuki Sibi(dua, kanan) bergambar bersama barangan sumbangan ketika majlis sumbangan bantuan bencana banjir Kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor (MBI) di Hotel Glemarie, Shah Alam pada 14 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MBI salur RM70,000 kepada JKM Selangor, bantu mangsa banjir

SHAH ALAM, 14 DIS: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyalurkan dana RM70,000 kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri untuk bantuan bencana banjir.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Norita Mohd Sidek berkata bantuan diberikan berbentuk kit kebersihan dan pek makanan sedia dimakan masing-masing sebanyak 1,000 unit.

“Kita beri bantuan kit kebersihan dan makanan kerana sedia maklum mangsa-mangsa ini berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sehelai sepinggang apabila berlakunya bencana.

“Oleh demikian, kita permudahkan dengan sediakan kit kebersihan mengandungi seperti sabun mandi serta berus gigi manakala makanan yang sedia dimakan dan hanya perlu dipanaskan sahaja,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis serahan bantuan bencana banjir kepada Timbalan Pengarah JKM Selangor Mohd Razuki Bin Sibi di sini hari ini.

Norita turut memaklumkan, pihaknya memperuntuk RM500,000 sebagai persediaan bantuan sekiranya berlaku bencana banjir pada tahun ini.

“Setakat ini, kita telah membelanjakan lebih RM100,000 untuk bantuan banjir pada tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Razuki menyifatkan bantuan diberikan MBI kepada mangsa banjir di Selangor adalah langkah tepat berikutan bekalan makanan semakin berkurangan.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri khususnya MBI sudi berikan bantuan makanan dan kit kebersihan. Bantuan ini akan diletakkan di Depoh Simpanan Keperluan Bencana Sungai Buloh untuk diagihkan di PPS terlibat.

“Bagaimanapun, untuk permulaan ini kita fokuskan di daerah Sepang kerana mangsa banjir di kawasan tersebut lebih memerlukan,” katanya.

MBI melaksanakan pelbagai aktiviti tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) tahun ini antaranya agihan haiwan korban, mahabbah haji dan program tuisyen rakyat.

Tahun lalu, MBI membelanjakan RM28 juta bagi menjalankan program kebajikan dan inisiatif memerangi Covid-19.

Pemerbadanan itu juga mengagihkan RM2.8 juta bagi membantu mangsa banjir dan sumbangan kepada Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit.


Pengarang :