EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian (tengah) melakukan gimik perasmian Pusat Kitar Semula Komuniti dan Karnival 5R sempena Sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan disaksikan Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid (dua, kiri) di Seksyen U13 Shah Alam pada 8 Disember 2022. Foto MBSA
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSA hasrat bina lebih banyak pusat kitar semula, didik penduduk pelihara alam

SHAH ALAM, 9 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berhasrat membuka lebih banyak pusat kitar semula bagi mendidik penduduk untuk lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

Datuk Bandarnya Dr Nor Fuad Abdul Hamid berkata setakat ini pihak berkuasa tempatan itu memiliki 16 pusat kitar semula untuk kemudahan masyarakat setempat menghantar barangan terpakai.

Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid. Foto MBSA

“Setakat November lalu, Pusat Kitar Semula Komuniti Seksyen U13 sahaja berjaya megumpul 223 metrik tan bahan terpakai antaranya kertas, tin aluminium, pakaian, botol kaca dan kotak minuman.

“Oleh demikian, kita merancang membuka lebih banyak pusat kitar semula dan terbaharu di Seksyen U16 yang sedang dalam pembinaan serta menaik taraf pusat di Seksyen 2 iaitu pusat terawal dibuka di daerah ini,” katanya.

Berucap dalam majlis pelancaran Pusat Kitar Semula Komuniti di Seksyen U13 dan Program Karnival 5R di sini semalam, Nor Fuad berkata pihaknya kini giat melaksanakan program amalan dan kutipan kitar semula di peringkat komuniti dan sekolah.

“Antara yang akan dilakukan ialah lantikan duta sifar sisa (DOS) bagi 2022/2023 yang berperanan sebagai ejen penyampai maklumat dan memperkasa pertandingan kitar semula minyak masak terpakai.

“Program DOS ini diperkenal pada 2019 dan memberi dampak positif daripada segi penyampaian maklumat serta penyertaan peringkat komuniti dalam amalan kitar semula,” katanya.

Terdahulu, EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian menyempurnakan Pusat Kitar Semula Komuniti di Seksyen U13 sebelum meluangkan masa meninjau kemudahan di pusat berkenaan.


Pengarang :