EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim (tiga dari kanan) melakukan gimik pecah tanah cadangan membina rumah pam di Jalan Saksama 25/39 dan Jalan Khidmat 25/35 di Taman Sri Muda Seksyen 25 Shah Alam untuk Majlis Bandaraya Shah Alam pada Majlis Pecah Tanah Projek Pelan Tindakan Banjir Shah Alam (SASuD) di Taman Sri Muda, Shah Alam. pada 9 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSA perkenal pelan tindakan atasi banjir Shah Alam

SHAH ALAM, 9 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memperkenal Pelan Tindakan Banjir Shah Alam (SASuD) yang akan dilaksana secara jangka pendek dan berfasa bagi mengurangkan risiko bencana itu berulang.

EXCO Infrastruktur berkata MBSA menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama negara ini yang melaksanakan pelan bersepadu projek tebatan banjir.

Menurut Ir Izham Hashim antara hala tuju rancangan itu adalah menaik taraf sistem perparitan utama perbandaran ke arah reka bentuk minimum yang boleh ditampung selama 50 tahun.

“Selain itu, MBSA akan menaik taraf kolam takungan yang mampu berfungsi apabila banjir luar biasa dan menambah struktur penyokong air larian permukaan seperti parit erong.

“Pelan itu juga menyediakan tebatan banjir yang boleh menyokong sistem tebatan banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan membina sistem ramalan dan pemantauan banjir perbandaran secara bersepadu berkonsepkan artificial intelligence (AI),” katanya.

Terdahulu beliau merasmikan majlis Pecah Tanah Projek SASuD di Taman Sri Muda. Turut hadir Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau, Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof dan Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid.

Menurut Izham, fasa satu SASuD merangkumi 30 projek dan fasa dua merangkumi 19 projek yang akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun yang mana empat projek akan dimulakan di Taman Sri Muda.

November tahun lalu, seramai 633 mangsa banjir terjejas selepas beberapa kawasan di Shah Alam dan Klang ditenggelami air akibat hujan lebat selama beberapa hari.


Pengarang :