Kerja menaik taraf infrastruktur di bulatan Persiaran Puchong Permai hingga Jalan Taqwa giat dilakukan. Foto Instagram sjcitycouncil
AGENDANASIONAL

MBSJ naik taraf infrastruktur awam di bulatan Persiaran Puchong Permai hingga Jalan Taqwa

Oleh FAIZAL NAZARUDDIN

SHAH ALAM, 30 DIS: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) melakukan kerja menaik taraf infrastruktur jalan raya di kawasan yang terlibat dalam operasi perobohan binaan tanpa kebenaran baru-baru ini.

Pihak berkuasa tempatan itu berkata kerja penambahbaikan kawasan itu bermula di bulatan Persiaran Puchong Permai hingga Jalan Taqwa.

“Kerja menaik taraf melibatkan pembinaan semula laluan pejalan kaki, pembaikan jalan, turapan dan longkang yang rosak.

“MBSJ juga manambah papan tanda jalan selain menambahbaik garisan jalan untuk lalu lintas supaya lebih teratur dan selamat,” katanya menerusi Instagram.

Justeru katanya, pengguna jalan raya dan penduduk sekitar diharap bersabar sepanjang kerja menaik taraf itu serta prihatin agar tidak meletak kenderaan di bahu jalan.

“Orang awam dilarang melakukan sebarang aktiviti penjaja atau perniagaan tanpa kelulusan MBSJ di kawsan tersebut,” katanya.

Orang ramai diminta mematuhi arahan dan boleh membuat aduan kepada MBSJ jika terdapat aktiviti perniagaan berulang di kawasan tersebut.

Pada 21 Disember lalu, MBSJ melakukan operasi peruntuhan binaan tanpa kebenaran di sepanjang rizab bahu Jalan Taqwa, Persiaran Puchong Permai, Puchong berikutan lokasi itu tidak sesuai sebagai tapak penjaja statik.

Rungutan penduduk setempat terhadap perniagaan di sepanjang rizab bahu Jalan Taqwa antara punca gerai itu diroboh penguat kuasa MBSJ.


Pengarang :