Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar ditemu bual media selepas operasi peruntuhan binaan tanpa kebenaran di sepanjang rizab bahu Jalan Taqwa Bulatan Puchong Permai, Persiaran Puchong Permai, Puchong pada 21 Disember 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSJ: Penjaja terlibat kawasan diroboh ditawar tapak niaga baharu

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SUBANG JAYA, 21 DIS: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menawarkan tapak niaga dan medan selera kepada penjaja yang terkesan susulan perobohan binaan tanpa kebenaran di sepanjang rizab bahru Jalan Taqwa, Persiaran Puchong Permai, Puchong.

Datuk Bandar Subang Jaya berkata tawaran itu bagi menempatkan semula peniaga terlibat di lokasi perniagaan baharu namun ada di antara mereka enggan berpindah.

“Hanya tiga penjaja sahaja berpindah, jadi kita ulangi proses sama kepada mereka. Kita menyediakan tapak itu (Dataran Niaga Puchong Permai) dengan kadar sewa berpatutan iaitu satu petak RM30 sebulan untuk satu sesi yang mana satu hari melibatkan tiga sesi.

“Manakala Medan Selera MBSJ di kawasan berdekatan dibuat melalui tender terbuka berikutan permintaan tinggi dengan kadar sewa dari RM350 hingga RM1,000 sebulan.

“Kita harap mereka terima tawaran dan MBSJ akan dapatkan senarai nama serta hubungi penjaja untuk ditempatkan di tapak disediakan,” kata Dato’ Johary Anuar.

Penguat kuasa Majlis Bandaraya Subang Jaya melakukan operasi peruntuhan binaan tanpa kebenaran di sepanjang rizab bahu Jalan Taqwa Bulatan Puchong Permai, Persiaran Puchong Permai, Puchong pada 21 Disember 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Beliau ditemui selepas meninjau operasi peruntuhan 25 binaan tanpa kebenaran di sepanjang rizab bahu Jalan Taqwa, Bulatan Puchong Permai, Puchong hari ini.

Katanya, Dataran Niaga Puchong Permai diwujudkan supaya peniaga mendapat hub perniagaan teratur dan dilengkapi kemudahan asas bagi menjamin keselesaan pengunjung seperti 52 lot tapak, kemudahan kiosk, tandas awam, taman permainan kanak-kanak serta petak tempat letak kereta dan motosikal termasuk kemudahan bagi Orang Kurang Upaya (OKU).

“MBSJ berharap penjaja dapat memanfaatkan kemudahan yang diberikan dan dalam masa sama dapat mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas serta aduan diterima di sekitar kawasan Bulatan Puchong Permai.

“Peniaga perlu mematuhi peraturan bagi mengelak tindakan penguatkuasaan dikenakan terhadap mereka,” katanya.


Pengarang :