Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya Dato’ Johary Anuar ketika operasi peruntuhan binaan tanpa kebenaran di sepanjang rizab bahu Jalan Taqwa Bulatan Puchong Permai, Persiaran Puchong Permai, Puchong pada 21 Disember 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSJ sedia lokasi strategik, lengkap kemudahan untuk penjaja Puchong Permai

SHAH ALAM, 24 DIS: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menyediakan lokasi strategik kepada peniaga yang binaan tanpa kebenaran di sepanjang rizab bahru Jalan Taqwa, Persiaran Puchong Permai, Puchong diroboh.

Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar menjelaskan medan selera bersebelahan Dataran Niaga Puchong Permai yang terletak cuma 300 meter dari tapak asal menyediakan pelbagai kemudahan asas.

“Amat dekat. Saya rasa ia tidak akan menjejaskan perniagaan mereka kerana pelanggan adalah terdiri daripada penduduk setempat.

“Malah, kemudahan di situ juga lebih baik kerana ada banyak tempat letak kenderaan yang menjamin keselesaan pengunjung,” katanya kepada Selangorkini.

Kawasan itu juga menyediakan kemudahan asas antaranya tandas awam, taman permainan kanak-kanak serta petak letak kenderaan dan motosikal termasuk kemudahan orang kurang upaya (OKU).

Rabu lalu, MBSJ meroboh 25 binaan tanpa kebenaran di sepanjang rizab bahu jalan berkenaan dan menawarkan tapak niaga dan medan selera kepada penjaja tersebut di situ.

Johary juga menjelaskan rungutan penduduk setempat terhadap perniagaan di sepanjang rizab bahru Jalan Taqwa, Persiaran Puchong Permai, Puchong antara punca gerai itu diroboh penguat kuasa MBSJ.

Katanya, banyak aduan termasuk kesesakan lalu lintas dan isu kebersihan terhadap peniaga berkenaan yang sebahagiannya menyewakan tapak  kepada penjaja lain sehingga MBSJ pula dituduh tidak tegas terhadap mereka.

“Kita tidak akan ambil tindakan sewenang-wenangnya jika tiada aduan. Kita juga sudah beri peluang sejak 2020 lagi,” kata beliau lagi.


Pengarang :