Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) membawa keluar mangsa yang terselamat dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan berhampiran Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Bentong Kali pada 16 Disember 2022. Foto Facebook SMART
AGENDANASIONAL

Menteri: 13 maut tragedi tanah runtuh di Batang Kali

SHAH ALAM, 16 DIS: Seramai 13 mangsa disahkan maut dalam tragedi tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali, setakat 11 pagi ini.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata mayat mangsa terkorban dihantar ke Hospital Sungai Buloh dan ada yang masih di lokasi kejadian, lapor portal Berita Harian.

“Kita akan berkoordinasi dengan Hospital Kuala Lumpur (HKL) khususnya kerana HKL ada kapasiti yang lebih besar.

“Setakat ini, tujuh mangsa yang cedera sedang dirawat di hospital, termasuk tiga di Hospital Selayang, tiga di Hospital Kuala Kubu Baru dan seorang di HKL,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat mangsa yang cedera dalam kejadian itu di Hospital Selayang, hari ini.

Dr Zaliha berkata berdasarkan pemantauan pegawai dan pasukan kesihatan terhadap mangsa yang cedera di lokasi kejadian, sebahagian besar kes adalah dalam kategori zon hijau, dengan sebahagian kes dalam kategori zon kuning dan merah.

“Bagi mangsa zon merah, kita terus hantar ke Hospital Selayang. Tiga kes di sini memerlukan pemerhatian, termasuk seorang wanita hamil, yang setakat ini dalam keadaan stabil.

“Seorang pesakit mengalami kecederaan di bahagian muka dan seorang lagi, kita bimbang mengalami kecederaan abdomen. Satu kes dihantar ke HKL kerana disyaki mengalami kecederaan tulang belakang,” katanya.


Pengarang :