Kerja-kerja projek tebatan banjir di sepanjang tebing Sungai Kelantan, Pasir Pekan di Tumpat sedang giat dilaksanakan. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: 40 projek tebatan banjir, saliran giat dibina di Kelantan, Terengganu

TUMPAT, 29 DIS: Sebanyak 40 projek berkaitan rancangan tebatan banjir (RTB) serta saliran mesra alam sedang dan akan dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Kelantan dan Terengganu.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata pelaksanaan projek RTB akan meningkatkan bilangan penduduk yang dilindungi daripada banjir.

Beliau berkata terdapat dua projek utama RTB dalam pelaksanaan di Kelantan iaitu Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan yang sudah mencapai 87.74 peratus status kemajuan fizikal dan dijangka siap pada 20 April 2023 dengan kos sebanyak RM456 juta.

“PLSB Sungai Golok fasa satu telah mencapai 71 peratus kemajuan fizikal dan dijangka siap sepenuhnya pada 13 Ogos 2024 manakala fasa dua pula. status terkini adalah di peringkat tender dan dijangka surat setuju terima kepada kontraktor dapat dikeluarkan pada Mac 2023.

“Fasa tiga pula akan dilaksanakan melalui peruntukan ‘off-budget’ dengan anggaran kos keseluruhan projek ini (PLSB sungai Golok) adalah sebanyak RM2.156 bilion,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Program Gerak Kerja Pasca Banjir di Sekolah Kebangsaan Bendang Pa’ Yong di sini hari ini, yang turut dihadiri Ahli Parlimen Tumpat Datuk Mumtaz Md Nawi.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan mempercepat projek tebatan banjir PLSB Sungai Golok di Kelantan yang mampu mengurangkan bencana banjir seterusnya memberikan manfaat yang besar kepada penduduk sekitar.

Nik Nazmi berkata pihaknya akan menyegerakan laporan berhubung PLSB untuk tindakan selanjutnya supaya projek terbabit dapat diteruskan segera.

“Kita memahami keperluan terdesak menangani isu perubahan iklim seperti fenomena bencana banjir yang sudah menjadi kejadian tahunan. Oleh itu, kita akan memberi fokus dalam mendepani usaha untuk mencari penyelesaian jangka panjang melalui pendekatan adaptasi dan mitigasi berkesan menangani isu perubahan iklim,” katanya.

Keadaan di Kampung Tersang, Rantau Panjang Kelantan yang dilanda banjir ketika tinjauan pada 15 Disember 2022. Foto BERNAMA

Beliau berkata episod terkini luruan monsun memuncak pada 18 Disember lepas yang merupakan taburan hujan paling tinggi iaitu melebihi 430 milimeter sehari di Kota Bharu.

“Susulan daripada itu, sebanyak 65 kejadian banjir monsun direkodkan dengan 44 kejadian berlaku di Kelantan dan 21 di Terengganu. Kedua-dua negeri merekodkan purata hujan yang melebihi purata hujan bulanan masing-masing,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :