Salah seorang mangsa yang terkorban ditemukan dalam kejadian tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Batang Kali pada 16 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri arah aktiviti perkhemahan di Batang Kali dihentikan serta-merta

SHAH ALAM, 16 DIS: Menteri dalam negeri mengarahkan semua aktiviti perkhemahan di kawasan Batang Kali dihentikan serta-merta susulan insiden tanah runtuh, awal pagi tadi.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkara itu dimaklumkan kepada Ketua Polis Daerah (KPD) Hulu Selangor Superintendan Suffian Abdullah sehingga satu masa diberitahu kelak, lapor Berita Harian.

“Kita sudah minta KPD untuk segera keluarkan arahan baru untuk mana-mana pemilik tapak perkhemahan supaya tidak menerima pengunjung perkhemahan sehingga satu masa diberitahu kelak.

“Saya dimaklumkan trend aktiviti perkhemahan ini sangat popular selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berdasarkan perjumpaan dengan pengedar barang-barang perkhemahan, sehinggakan pembelian alat perkhemahan meningkat 40 peratus,” katanya selepas melawat lokasi kejadian hari ini.

Kejadian tanah runtuh di tiga tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya menjejaskan puluhan mangsa dengan operasi mencari dan menyelamat terus dipergiat.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dalam sidang media sebelum ini mengesahkan seramai 13 mangsa maut dalam tragedi yang berlaku kira-kira 2.20 pagi tadi.


Pengarang :