Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berbual dengan pesakit Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang ketika membuat lawatan mengejut pada 28 Disember 2022. Foto ihsan Kementerian Kesihatan
AGENDA

Menteri buat lawatan mengejut ke hospital Klang, tangani isu menunggu lama

SHAH ALAM, 29 DIS: Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa membuat lawatan mengejut ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang di sini malam tadi.

Tanpa memaklumkan pengurusan HTAR, beliau berbual dengan beberapa pesakit yang menunggu rawatan di jabatan kecemasan hospital itu, lapor Malaysiakini.

Menurut pegawai Zaliha yang tidak dinamakan portal berita tersebut, menteri mahu mendapatkan maklum balas pesakit mengenai isu waktu menunggu yang lama di jabatan kecemasan.

Kata pegawai itu, kebanyakan pesakit mengadu mereka menunggu lama untuk mendapat rawatan manakala petugas kesihatan pula memberi cadangan untuk menambah baik beberapa aspek kesihatan.

Sebelum ini, Zaliha berkata beliau memandang serius masalah kesesakan di jabatan kecemasan dan trauma di hospital kerajaan dan giat merangka pelan bagi mengatasi masalah kesesakan sedemikian.

Beliau bukan menteri pertama membuat kunjungan mengejut. Menteri Pengangkutan Anthony Loke sebelum ini melakukan hal sama di beberapa stesen LRT di ibu negara untuk meninjau perkhidmatan di situ.


Pengarang :