Anggota Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang melakukan pemantauan di kawasan rumah penduduk di Kampung Padang Licin, Pasir Mas, Kelantan pada 17 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: Hampir 70,000 anggota pelbagai agensi siap siaga hadapi banjir

KUALA LUMPUR, 17 DIS: Seramai 69,754 kekuatan sumber manusia terlatih termasuk daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah tersedia bagi aspek pengurusan bencana di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata selain itu, sebanyak 7,906 pusat pemindahan sementara turut dikenal pasti bagi menampung sehingga 1.9 juta mangsa banjir semasa Monsun Timur Laut.

Menerusi data di Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), beliau berkata pergerakan luruan monsun kedua telah bermula dan berlaku hujan sejak awal pagi tadi khususnya di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Justeru kita harapkan semua pihak bersedia menghadapi kesan risiko banjir yang akan berlaku di sesetengah tempat khususnya negeri-negeri di kawasan pantai timur di Semenanjung Malaysia,” katanya selepas menghadiri taklimat di NDCC, hari ini.

Beliau berkata aspek pengurusan bencana pada tahun ini ditambah baik dengan mengemas kini prosedur operasi standard (SOP), menyediakan taklimat dan simulasi bencana di seluruh negara serta libat urus dengan komuniti setempat seperti ketua kampung, golongan belia dan badan bukan kerajaan.

Sementara itu, Armizan berkata beliau akan mengadakan perbincangan bersama kementerian yang terlibat dalam penyaluran maklumat semasa bencana iaitu Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Komunikasi dan Digital bagi menyelaras penyaluran maklumat rasmi kepada orang awam dengan pantas.

Beliau berkata melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), syarikat telco turut bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk menyalurkan maklumat menerusi SMS kepada penduduk di lokaliti yang diramalkan berisiko banjir serta hujan lebat.

— BERNAMA

 


Pengarang :