Pelancong luar negara tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika tinjauan pada 1 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: Pengembara luar negara termasuk China perlu jalani saringan demam

PUTRAJAYA, 30 DIS: Semua pengembara yang tiba dari luar negara termasuk China di pintu masuk antarabangsa (PMA) perlu melalui saringan demam, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata pengembara yang dikesan demam, bergejala atau rujukan kendiri akan dirujuk ke pusat kuarantin atau pihak kesihatan untuk pemeriksaan semula.

“Sekiranya disyaki Covid-19, ujian Covid-19 akan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, langkah itu antara empat strategi utama Kementerian Kesihatan (KKM) dalam mempertingkatkan kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes dan kematian akibat pandemik Covid-19 di Malaysia serta perubahan polisi pengurusan Covid-19 di China.

China mengumumkan kelonggaran pengurusan Covid-19 pada 8 Jan dan Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (NHC) memaklumkan Beijing tidak akan mengenakan kuarantin ke atas mereka yang memasuki negara itu.

Keputusan berkenaan dibuat ketika China berdepan peningkatan jangkitan yang membimbangkan, sementara jumlah kematian dilaporkan turut meningkat.

Pada masa sama, Dr Zaliha berkata langkah survelan di PMA juga akan diperkukuh dengan pengambilan sampel air kumbahan pesawat dari China.

“Sampel air kumbahan akan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan untuk ujian PCR dan seterusnya dihantar untuk penjujukan genom sekiranya dikesan positif Covid-19,” katanya.

Bagi mengesan sebarang varian baharu pula, semua kes penyakit seperti influenza (ILI) dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (Sari) yang mendapatkan perkhidmatan di fasiliti kesihatan dan mempunyai sejarah perjalanan ke China atau kontak dengan individu dari China dalam tempoh 14 hari perlu melalui ujian RTK-Ag.

Katanya, hasil ujian RTK-Ag Covid-19 itu akan dihantar untuk penjujukan genom sekiranya positif Covid-19.

Dr Zaliha berkata KKM turut melindungi komuniti melalui pemberian vaksin termasuk kumpulan rentan dan berisiko tinggi dengan mmenawarkan pemberian vaksin secara jumpa terus di fasiliti kesihatan KKM.

Katanya, selain itu KKM akan mempertingkatkan kesiapsiagaan dan respons sistem perkhidmatan kesihatan awam melalui pengukuhan pengurusan Covid-19 menggunakan pendekatan Find, Test, Trace, Isolate, and Support (FTTIS) yang diautomasikan.

Beliau berkata aktiviti advokasi dan komunikasi risiko berkaitan Covid-19 termasuk vaksinasi serta rawatan juga dipertingkat kepada semua lapisan masyarakat.

Dr Zaliha turut memaklumkan pengisytiharan Malaysia sebagai Kawasan Tempatan Jangkitan yang akan tamat esok telah dilanjutkan hingga 30 Jun depan bagi memudahkan KKM menjalankan aktiviti pencegahan dan pengawalan penularan jangkitan Covid-19 menggunakan peruntukan di bawah P.U.(A) 83/2022.

“Pelanjutan ini telah diwartakan pada 27 Dis 2022 melalui perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelanjutan Kuat Kuasa) (No.2) 2022 (P.U.(A) 397/2022),” katanya.

P.U.(A) 83/2022 yang diwartakan pada 31 Mac lepas adalah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) (Fasa Peralihan ke Endemik) 2022.

-BERNAMA


Pengarang :