Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek bergambar dengan sekumpulan pelajar pada majlis Pelancaran Buku Cerita Young Emerging Talents Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur (SSeMKL) di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 8 Disember 2022. Foto Facebook Kementerian Pendidikan Malaysia
AGENDANASIONAL

Menteri saran seni penulisan murid sentiasa ditingkat

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SHAH ALAM, 8 DIS: Seni penulisan dalam kalangan murid perlu dipertingkat dari semasa ke semasa supaya mereka lebih bersedia untuk ke peringkat antarabangsa.

Menteri pendidikan berkata ia sebagai usaha memperluas akses dan meningkatkan kualiti selari usaha mengukuhkan sistem pendidikan negara merangkumi bidang akademik dan kesenian.

“Pengantarabangsaan karya murid merupakan salah satu penanda aras dalam menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa seperti dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025,” kata Fadhlina Sidek.

Terdahulu, beliau melancarkan lima buku cerita hasil karya lima pelajar di bawah Program Young Emerging Talents (YET) Sekolah Seni Malaysia, Kuala Lumpur sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022.

Fadhlina juga berbangga dengan karya pelajar berusia antara 13 hingga 16 tahun itu yang dihasilkan berdasarkan pengalaman sendiri selain ilustrasi setiap helaian buku adalah hasil kreatif mereka.

“Lima penulis cilik ini adalah antara murid Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur yang menyertai delegasi Malaysia ke Program Pengantarabangsaan Karya Malaysia di Pesta Buku Frankfurt, Jerman pada 19 hingga 23 Oktober lalu.

“Karya mereka digarap menggunakan Bahasa Inggeris yang mudah difahami dan mempunyai daya tarikan tersendiri. Saya percaya karya mereka boleh dijadikan bahan bacaan tambahan di sekolah-sekolah rendah,” katanya.

Beliau juga berharap pengalaman pelajar terbabit menyaksikan proses padanan urus niaga, rundingan transaksi hak cipta dan pelesenan karya mampu memberi nilai tambah dalam mengasah mereka bakat ke arah lebih profesional.


Pengarang :