Menteri Komunikasi Digital Fahmi Fadzil (tengah) mempengerusikan mesyuarat pada hari pertama memulakan tugas di Kementerian Komunikasi Digital, Putrajaya pada 5 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: SKMM dan TikTok bekerjasama bendung kandungan provokatif, ekstremis

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Penyedia aplikasi TikTok akan menjalin kerjasama strategik dengan Kementerian Komunikasi Digital menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi membendung segera penyebaran kandungan berunsur provokatif serta ekstremis di media sosial.

Menteri Komunikasi Digital Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata hasrat dan komitmen penyedia aplikasi itu dinyatakan dalam sesi perjumpaan beliau dengan pihak TikTok serta MCMC, petang tadi.

“Hasil perbincangan ini, pihak TikTok menyatakan hasrat dan komitmen untuk menjalin kerjasama strategik dengan Kementerian Komunikasi Digital melalui MCMC untuk segera membendung dan membanteras penyebaran kandungan berunsur provokatif dan bersifat ekstremis ini di media sosial yang mengganggu keharmonian pelbagai lapisan masyarakat.

“Insya-Allah, saya juga akan mengadakan beberapa lagi siri perjumpaan dengan penyedia platform media sosial yang lain bagi memastikan isu ini ditangani secara holisitik dengan kadar segera,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Ahmad Fahmi berkata perkara untuk membanteras isu penyebaran kandungan berunsur provokatif, menggugat keharmonian serta menyentuh sensitiviti kedudukan institusi Raja, agama dan bangsa dengan segera juga antara diberi penekanan dalam Mesyuarat Kabinet Khas dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya pagi tadi.

— BERNAMA


Pengarang :