Pelanggan membeli telur ayam omega yang terdapat di pasaran ketika tinjauan di sebuah pasar raya di Setiawangsa, Kuala Lumpur pada 29 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri temui pemain industri telur ayam, minyak masak, usaha tangani isu bekalan

JOHOR BAHRU, 10 DIS: Lima kertas kerja menangani masalah kos sara hidup rakyat akan dibentangkan menerusi mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang dijangka diadakan pada Selasa ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata mesyuarat disertai 15 kementerian yang menganggotai NACCOL itu dijangka dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kementerian Pengangkutan, MAFI (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Sains dan Teknologi antara kementerian yang akan membentangkan kertas masing-masing dan kesemuanya melibatkan isu kos sara hidup yang berlaku di dalam negara.

“Selepas mesyuarat NACCOL, kita akan beritahu apakah keputusan yang telah dicapai kerana isu ini menjadi antara topik atau perbincangan yang sangat panas dan ia menjadi misi besar Perdana Menteri untuk bersama-sama kita menangani isu kos sara hidup ini,” katanya kepada pemberita selepas Program Berkhatan Berkelompok di Masjid Jamek Al-Mizan Kempas di sini hari ini.

Salahuddin yang juga urus setia NACCOL berkata selesai mesyuarat berkenaan, KPDN akan mengadakan mesyuarat dengan MAFI pada hari yang sama bagi membincangkan isu bekalan telur dan minyak masak peket bersubsidi di pasaran.

“Pertemuan ini penting untuk kedua-dua kementerian saling bekerjasama bagi memastikan rantaian bekalan makanan itu dapat kita pastikan berjalan dengan baik, selain meneliti dengan cermat apakah perkara yang menjadi gangguan terhadap rantaian bekalan berkenaan,” katanya.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata selepas kedua-dua mesyuarat itu selesai, beliau akan mengadakan perjumpaan dengan pemain industri telur ayam dan minyak masak peket bersubsidi bagi mengenal pasti situasi sebenar dan mendapatkan maklumat terkini berhubung bekalan kedua-dua barangan berkenaan.

Pada 27 Nov lepas, Anwar dilaporkan telah mengarahkan NACCOL untuk mencerakin dan menelusuri implikasi subsidi dalam tempoh dua minggu. – BERNAMA


Pengarang :