Menteri Komunikasi Digital Fahmi Fadzil pada sidang media selepas mengimbas kad perakam waktu sebagai simbolik memulakan tugas secara rasmi di Kementerian Komunikasi Digital di Putrajaya pada 5 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: TikTok sekat lebih 1,000 rakaman bersifat melampau

SHAH ALAM, 7 DIS: Sebanyak 1,126 video disekat oleh pengendali aplikasi TikTok secara automatik seminggu selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata menteri komunikasi dan digital.

Fahmi Fadzil berkata 857 video yang dipercayai mengandungi kandungan melampau disekat ketika tempoh kempen PRU15 berlangsung antara 12 hingga 18 November selain 130 video lagi pada hari pengundian.

“Ini merupakan statistik berkaitan bahan video yang telah dihalang oleh TikTok secara automatik susulan dipercayai mengandungi unsur provokatif dan ekstrem berkaitan dengan PRU15,” katanya dalam sidang medianya hari ini.

“Sekatan secara automatik ini dilakukan secara kecerdasan buatan (AI) yang dimiliki oleh TikTok sendiri.”

Pada 5 Disember, Kementerian Komunikasi dan Digital menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan penyedia aplikasi TikTok bagi membendung segera penyebaran kandungan berunsur provokatif serta ekstremis di media sosial.

Fahmi berkata kerjasama itu juga bertujuan membanteras isu penyebaran kandungan berunsur provokatif, menggugat keharmonian serta menyentuh sensitiviti kedudukan institusi Raja, agama dan bangsa.

Dalam sidang media sama, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata kementeriannya juga akan bertemu Kementerian Kewangan dalam tempoh terdekat bagi membincangkan isu Digital Nasional Berhad (DNB) dan rangkaian 5G.


Pengarang :