Ketua Hakim Syarie Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang dilantik sebagai Menteri Agama mengangkat sumpah jawatan berkenaan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim di Parlimen pada 3 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mohd Na’im Ketua Hakim Syarie pertama dilantik Menteri Agama

KUALA LUMPUR, 3 DIS: Buat julung kalinya Ketua Hakim Syarie diberi kepercayaan menjadi menteri Kabinet, apabila Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, 55, hari ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Agama dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terdahulu beliau yang juga Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Dewan Negara berkuat kuasa hari ini.

Anak kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur yang dilantik sebagai Ketua Hakim Syarie dan juga Ketua Pengarah JKSM pada 1 April 2019 itu bukanlah nama asing dalam kalangan pengamal undang-undang.

Beliau merupakan lepasan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Mohd Na’im juga memperoleh Ijazah Sarjana Undang-Undang (LLM) dari University of London, United Kingdom dan Doktor Falsafah (PhD) Syariah dari Universiti Malaya, serta pemegang Diploma dalam Undang-undang Syariah dan Amalan dari UIAM, dan Diploma dalam Pentadbiran dan Kehakiman Islam dari universiti sama.

Beliau memulakan kerjayanya sebagai Pensyarah Undang-undang di UIAM dari 1990 hingga 1997 sebelum menjadi Peguam Bela & Peguam Cara Malaya pada 1997 hingga 1998.

Mohd Na’im kemudian dilantik sebagai Hakim Mahkamah Syariah Petaling Jaya dari 1998 hingga 2001 sebelum menjadi Hakim Mahkamah Syariah Kuala Lumpur dari 2001 sehingga 2003.

Pada 2003, beliau dilantik sebagai pegawai penyelidik, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia sehingga 2005, selain merupakan pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia dan UIAM pada 2003 sehingga 2008.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pendakwa Kanan Syarie di Jabatan Agama Wilayah Persekutuan; Timbalan Pengarah, Bahagian Sokongan Keluarga, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan Pengarah, Bahagian Sokongan Keluarga di jabatan sama selama dua tahun bermula 2007.

Selain itu, beliau juga merupakan peguam sivil di firma guaman Zulkifli, Yong, Azmi & Co pada 1988. Mohd Na’im turut diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila dilantik sebagai Felo Pelawat di Harvard Law School, Universiti Harvard, Amerika Syarikat bermula 1 Februari 2013 sehingga 31 Mei tahun sama.

Mohd Na’im juga Profesor Adjung di Fakulti Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 2012 selain pernah menjawat jawatan selaku Presiden Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) sesi 2010-2012 serta menjadi panel perunding di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat.

Beliau turut menganggotai Panel Majlis Perundingan Islam pada 2015 dan Ahli Jawatan kuasa Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) selain merupakan penasihat syariah CIMB Islamic Bank dan menjadi Lembaga Penasihat Syariah bank-bank Islam tempatan dan bank asing serta Syarikat Takaful seperti CIMB Islamic Bank, Salihin Trustee Bhd dan American and British Investment Bank (Mauritius). – BERNAMA

 


Pengarang :