Tangkap layar klip video yang tular di media sosial menunjukkan seekor tikus sedang menikmati ayam goreng di sebuah premis makanan. Foto Twitter BERNAMA
PBTSELANGOR

MPAJ batal lesen premis makanan tular tikus nikmati ayam goreng

Oleh SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 26 DIS: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan Notis Pengesahan Pembatalan Lesen (NPPL) berkuat kuasa serta merta terhadap sebuah premis makanan tular di media sosial dengan seekor tikus menikmati ayam goreng.

Yang Dipertuanya Mohd Fauzi Mohd Yatim tindakan tersebut selaras dengan arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri Selangor yang mengeluarkan Notis Perintah Tutup pada Sabtu lalu.

“Tindakan sitaan akan dijalankan sekiranya premis masih beroperasi setelah NPPL dikeluarkan. Berdasarkan rekod pemeriksaan lalu, penarafan kebersihan premis tersebut adalah pada Gred B bagi Jun 2021 dan terbaru adalah pada Januari lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, MPAJ mengambil berat tentang isu yang telah berlaku ini dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana premis makanan yang mengambil mudah tentang aspek kebersihan.

“Kita sentiasa memantau kawalan kebersihan setiap premis makanan bagi memastikan syarat dan peraturan MPAJ sentiasa dipatuhi. Sehingga 30 November, 1,057 premis makanan diperiksa dan 259 kompaun telah dikeluarkan.

“Orang ramai juga diminta melaporkan aduan melalui http://aduan.mpaj.gov.my berkenaan kebersihan premis,” ujarnya.

Jumaat lalu, media tempatan melaporkan tular sebuah video seekor tikus sedang menikmati ayam goreng dalam pemanas makanan di sebuah restoran di Pandan Indah.

Susulan kejadian tersebut, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengarahkan premis tersebut ditutup 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

“Sebanyak enam notis kompaun telah dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 kerana (pemilik premis) gagal dalam beberapa aspek kawalan penyediaan makanan yang bersih dan selamat,” katanya dalam satu kenyataan.


Pengarang :