Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Mohd Fauzi Mohd Yatim berucap dalam Mini Karnival Pembaharuan Lesen Perniagaan MPAJ di Ampang pada 21 Disember 2022. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MPAJ perbaharui lebih 7,000 lesen premis, penjaja setakat 20 Disember

Oleh SHAMZ JOHAN

AMPANG, 22 DIS: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memperbaharui 4,959 lesen premis perniagaan dan 2,426 lesen penjaja bagi tahun depan melibatkan kutipan hasil keseluruhan sekitar RM 3.5 juta setakat 20 Disember.

Yang Dipertuanya Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata pembaharuan lesen itu perlu dibuat sebelum 1 Januari 2023 bagi mengelak denda caj lewat sebanyak RM360.

“Kita ingatkan semua pemegang lesen premis perniagaan atau penjaja segera memperbaharui lesen masing-masing bagi mengelak caj denda dikenakan.

“Harapan MPAJ untuk terus memperkasa penjaja ke arah bandar mampan pada tahun hadapan,” katanya ketika berucap pada Mini Karnival Pembaharuan Lesen Perniagaan MPAJ di sini semalam.

Terdahulu, lebih 300 pengunjung hadir pada karnival julung kali diadakan itu yang mana program itu adalah sebahagian inisiatif MPAJ untuk pemegang lesen premis perniagaan memperbaharui lesen mereka.

Pelbagai pameran turut dibuka antaranya Skim Hijrah Selangor dan Inisiatif Platform Selangor (PLATS).

Kaunter pembaharuan lesen turut dibuka di Galeri Aras 4, Menara MPAJ sehingga 31 Disember yang beroperasi dari 8 pagi hingga 5 petang pada Isnin hingga Jumaat.

Selain itu, kaunter bagi urusan pembaharuan lesen secara dalam talian juga dibuka di Aras 1, Melawati Mall sehingga akhir Disember mulai 10 pagi hingga 4 petang. Kaunter dibuka pada hari bekerja termasuk Sabtu dan Ahad minggu pertama serta ketiga.


Pengarang :