Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Mohd Fauzi Mohd Yatim (dua, kiri) membuat cabutan menerusi sistem e-Cabutan untuk memilih pemenang dalam kalangan pembayar cukai taksiran pada 30 Disember 2022. Foto Facebook MPAJ
PBTSELANGOR

MPAJ teruskan program cabutan bertuah pembayar cukai tahun hadapan

Oleh SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 31 DIS: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) meneruskan program Cabutan Bertuah Cukai Taksiran MPAJ pada tahun hadapan.

Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan program dianjurkan bersempena ulang tahun ke-30 telah dilangsungkan setiap bulan bermula Mac hingga Jun bagi penggal pertama dan September hingga Disember (penggal kedua) tahun ini.

“Sebanyak 35 hadiah menarik bernilai lebih RM 150,000 ditawarkan setiap bulan bagi pemilik harta yang menjelaskan cukai taksiran mengikut tempoh dan menepati syarat penyertaan.

“Seramai 280 daripada mereka dipilih sebagai pemenang melalui sistem e-cabutan,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, laporan hasil cukai MPAJ mencatatkan peningkatan keseluruhan sebanyak RM 11.3 juta dengan kadar peningkatan 12.6 peratus berbanding 2021.

Kutipan semasa cukai taksiran bagi tempoh 1 Januari hingga 30 November mencatatkan RM 76.5 juta manakala kutipan tunggakan cukai taksiran RM 24.4 juta.

Program cabutan bertuah merupakan inisiatif MPAJ memberi penghargaan kepada pembayar cukai yang komited menjelaskannya mengikut tempoh.

Pemilik harta boleh mendaftar di iCOMM dan jelaskan cukai taksiran bermula 1 Januari sehingga 28 Februari depan demi kelangsungan perkhidmatan MPAJ.

Orang ramai boleh mendapatkan perkembangan terkini mengenai program cabutan bertuah itu melalui Facebook MPAJ atau layari laman sesawang www.mpaj.gov.my .


Pengarang :