Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang Noraini Roslan (tengah) mempengerusikan mesyuarat penuh bulanan pihak berkuasa tempatan itu di Dewan Raja Mahadi, Klang pada 22 Disember 2022. Foto Facebook Majlis Perbandaran Klang
PBTSELANGOR

MPK fokus naik taraf prasarana bangunan lama, sasar jadi bandar raya tahun depan

Oleh SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 22 DIS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) memberi tumpuan kepada pembangunan di bandar Klang sebagai persiapan mencapai status bandar raya menjelang 2023.

Yang Dipertuanya Noraini Roslan berkata antara cabaran yang dihadapi MPK termasuklah keperluan menaiktaraf prasarana bandar Diraja terutama bangunan lama.

“Bandar Klang ini bandar lama dan kedudukan geografi di pinggir pantai dan lembah sungai meningkatkan risiko banjir.

“Justeru, kerjasama semua pemegang taruh sangat diperlukan bagi melaksanakan peranan dan tanggungjawab masing-masing dengan cekap serta berintegriti supaya kemajuan diperolehi kelak tidak mengorbankan alam sekitar, budaya dan warisan bandar Klang ini,” katanya.

Berucap dalam mesyuarat penuh bulanan, Noraini berkata sembilan jabatan MPK akan menjalani audit peringkat pertama pensijilan Sistem Pengurusan Anti Rasuah SIRIM pada 27 dan 28 Disember.

Noraini juga sempat merakamkan penghargaan kepada ahli-ahli majlis sesi 2021/2022 yang tamat perkhidmatan pada 31 Disember.

“Saya mewakili MPK merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua Ahli Majlis yang banyak mencurahkan khidmat bakti dan bersama-sama berganding bahu membangunkan bandar Klang ini,” katanya.


Pengarang :