Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang Noraini Roslan menerima Anugerah Inovasi Antarabangsa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ketika majlis perasmian Program Penghargaan Bandar Rendah Karbon MPK 2022 di Hotel Premiere, Klang pada 15 Disember 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MPK raih anugerah inovasi pembangunan mampan pada ekspo teknologi

KLANG, 16 DIS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menerima Anugerah Inovasi Antarabangsa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) daripada Ekspo Teknologi Malaysia 2022.

Yang Dipertuanya Noraini Roslan berkata anugerah tersebut diperoleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa menerusi penyertaan dengan tajuk inovasi Klang Bandar Diraja Warisan Pintar.

“Kita mengambil pelbagai inisiatif dengan memfokuskan bandar warisan di selatan bandar Klang kerana mempunyai bersejarah seperti Kota Raja Mahadi, istana dan rumah ibadah.

“Ini semua merupakan gabungan bandar lama yang mempunyai warisan tersendiri dan pada masa sama menerapkan nilai-nilai bandar pintar,” katanya ditemui pada Program Penghargaan Bandar Rendah Karbon 2022 di sini semalam.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan pihaknya kini memfokuskan pembangunan di bandar Klang sebagai persiapan bertukar ke arah bandar raya menjelang tahun depan.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah meluluskannya, kini kita sedang giat melakukan beberapa tugas sebagai persiapan peringkat bandar untuk kerja naik taraf infrastruktur,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Nazir Masjid Kampung Raja Uda Raja Shahar Raja Manja berkata beliau menghargai penghargaan diberikan MPK untuk kali kedua apabila dinobatkan pemenang Pertandingan Sudut SDG.

“Setiap ruangan di masjid telah dijadikan kawasan rendah karbon sejak enam tahun lalu seperti mengurangkan penggunaan elektrik supaya dapat beri penjimatan.

“Pengurangan penggunaan elektrik dapat menjimatkan sekurang-kurangnya 10 peratus. Malah, kita juga menadah air hujan untuk menyiram pokok serta mengekalkan kehijauan,” katanya.


Pengarang :