Anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menjalankan pemeriksaan di Taman Mulia, Banting pada 29 Disember 2022 dan mengesan kesalahan dilakukan pemilik kediaman yang meletakkan bahan binaan di hadapan rumahnya. Foto Facebook MPKL
PBTSELANGOR

MPKL: Notis kesalahan terhadap pemilik letak bahan binaan depan rumah

Oleh FAIZAL NAZARUDDIN

SHAH ALAM, 31 DIS: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) mengeluarkan notis kesalahan ke atas pemilik kediaman yang didapati meletakkan barang binaan di atas jalan hadapan rumahnya di Taman Mulia, Banting.

Pihak berkuasa tempatan itu berkata kesalahan dikesan hasil daripada rondaan dan tinjauan anggota penguat kuasa di kawasan perumahan itu Khamis lalu.

“Pegawai penguat kuasa MPKL mengeluarkan satu notis kesalahan kepada pemilik rumah itu kerana meletakkan bahan binaan seperti pasir dan batu-bata atas jalan tanpa kebenaran,” katanya menerusi Facebook.

MPKL menjelaskan kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 47(2)(a), Akta 133, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Agensi itu memberitahu rondaan secara berkala akan dilakukan dari masa ke semasa oleh anggota pengkuat kuasa.

Orang ramai boleh mendapatkan maklum balas dengan menghubungi talian atau WhatsApp 012-300 4217.


Pengarang :