Pasukan penyelamat giat mencari mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali pada 17 Disember 2022. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Musibah amukan alam, tragedi ragut puluhan nyawa

SHAH ALAM, 31 DIS: Pada awal pagi 16 Disember 2022, satu tragedi tanah runtuh dengan angka korban yang tinggi berlaku di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm Gohtong Jaya, Batang Kali, Hulu Selangor.

Disifatkan antara terburuk sejak kondominium Highland Tower tumbang di Ampang Jaya pada 1993, bencana itu menyebabkan 31 maut dan 61 cedera.

Insiden itu sebahagian daripada kes tanah runtuh dan banjir melanda negara. Bencana sedemikian kerap berlaku lantaran perubahan iklim termasuk kadar taburan hujan lebih tinggi.

Pada 2 Januari, sebanyak 13 laluan membabitkan Seremban, Jelebu, Kuala Pilah, Jempol dan Tampin di Negeri Sembilan ditutup untuk semua kenderaan susulan jalan runtuh dan dinaiki air.

Seramai 31 orang daripada sembilan keluarga petugas Balai Polis Tongod, Sabah dipindah sebagai langkah keselamatan susulan tanah runtuh berdekatan dengan balai itu pada 14 Februari.

Anggota bomba dan penyelamat melakukan kerja mencari dan menyelamat mangsa di lokasi tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Batang Kali pada 16 Disember 2022. Foto BERNAMA

Pada 24 dan 25 Februari, hujan lebat berterusan di Pantai Timur selama dua hari menyebabkan beberapa daerah di Terengganu, Pahang dan Kelantan dilanda banjir.

Ketika itu, lapan pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Kemaman dan Setiu, Terengganu, membabitkan 383 orang. Di Kelantan pula, tiga PPS dibuka di Tanah Merah dan Kuala Krai melibatkan 52 orang.

Korban tanah runtuh

Pada 10 Mac, empat terkorban manakala seorang cedera dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang Jaya selain 15 rumah rosak serta 10 kenderaan terjejas.

Susulan itu, Kerajaan Selangor segera menyalur bantuan RM135,000 kepada penduduk terlibat termasuk waris mangsa korban menerima RM10,000.

Rentetan banjir besar di Selangor antara 17 hingga 19 Disember 2021, sebanyak 148,186.84 tan metrik sampah pukal sisa banjir dikutip pada 11 Mac.

Usaha itu diketuai KDEB Waste Management bersama empat pihak berkuasa tempatan dan satu agensi persekutuan.

Sejumlah RM132,628,000 juta disumbang kepada 126,041 ketua isi rumah dan 17 waris korban akibat banjir besar pada Disember 2021 menerusi Bantuan Selangor Bangkit, yang diumum Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 1 Ogos.

Di Sabah pula, hujan lebat beberapa hari menyebabkan tanah runtuh dan banjir di Tuaran pada 10 April. Lima rumah terjejas akibat kejadian tersebut di Skim Penempatan Telipok di daerah itu.

Anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan polis membawa keluar sebahagian anggota badan dipercayai seorang daripada dua wanita yang hilang dalam kejadian tanah runtuh dan kepala air ketika sedang mendaki Gunung Suku di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands semalam yang ditemui dalam timbunan tanah pada 16 Mei 2022. Foto BERNAMA

Pada 15 Mei, dua wanita maut dibawa arus deras dalam kejadian tanah runtuh dan kepala air ketika mendaki Hutan Simpan Kekal Gunung Suku di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.

Di Kedah, tiga sekeluarga terbunuh manakala 600 orang terjejas dalam tragedi banjir lumpur dan kepala air di Kupang, Baling. Lebih 900 kediaman musnah dan kerugian dianggar RM28 juta dalam kejadian pada 4 Julai.

Rumah ditimbus

Dua kanak-kanak maut manakala dua individu dewasa cedera selepas rumah di Taman Elok, Jalan Bukit Nenas di Kota Kinabalu, ditimbus tanah runtuh pada 28 Julai.

Tiga sekeluarga berdepan detik cemas apabila banglo mereka di Taman Halaman, Ampang Jaya ditimpa tanah runtuh menyebabkan dinding bahagian belakang rumah itu roboh dalam insiden 15 November.

Sehari kemudian, beberapa rumah Orang Asli di Kampung Kerawat, Simpang Pulai di Ipoh tertimbus akibat tanah runtuh. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Penduduk menggunakan perkhidmatan sampan untuk melakukan kegiatan harian berikutan kawasan kampung masih ditenggelami banjir ketika tinjauan di Kampung Tersang, Rantau Panjang pada 13 Disember 2022. Foto BERNAMA

Pada 26 November pula, seorang lelaki maut dalam insiden tanah runtuh di Blue Valley, Kampung Raja, Cameron Highlands.

Dalam Disember, bah besar melanda Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Perak, Sabah dan Sarawak. Menurut laporan BERNAMA pada 20 Disember seramai 71,208 orang terbabit. Paling ramai dicatat di Terengganu (39,311 orang) dan Kelantan (31,311 orang).

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) merekod 79 kejadian tanah runtuh antara 19 September hingga 20 Disember tahun ini. Nadma juga mengenalpasti 31 kawasan berisiko tanah runtuh di seluruh negara.


Pengarang :