Pegawai Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menunjukkan buku sumbangan DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam pada 23 November 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Naskhah kurniaan Sultan Sharafuddin jadi rujukan

Buku-buku kurniaan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menjadi rujukan ulat buku termasuk golongan pelajar dan penyelidik saban tahun.

Mengikut rekod Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), penggunaan buku tersebut mencecah 5,404 kali sepanjang 2015, sebelum meningkat kepada 9,774 kali dua tahun kemudian.

Hanya ketika penularan wabak Covid-19 diikuti pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan antara 2020 hingga tahun lalu, penggunaannya merosot kepada 1,556 kali. Namun, ia meningkat kepada 3,907 kali setakat Oktober lalu.

Buku-buku yang diderma sejak 2011 hanya boleh digunakan dalam perpustakaan, tidak boleh dipinjam untuk dibawa pulang. Kebanyakan koleksi Baginda terdiri daripada edisi terhad termasuk sebahagiannya dari luar negara.

Antara buku sumbangan DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang terdapat di Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam pada 23 November 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Walau tidak boleh dibawa keluar tetapi ramai yang rujuk buku di perpustakaan memandangkan ia edisi yang sukar didapati. Ia digemari dalam kalangan pelajar dan penyelidik.

“Mereka kata buku berkenaan (kurniaan Baginda) sukar didapati dan ada yang terdiri daripada edisi pertama,” kata Timbalan Pengarah PPAS Suzliana Abdul Hamid.

Biografi pemimpin dunia

Hampir 3,000 judul buku kurniaan Baginda disusun rapi di rak tertera ‘Selected & Donated by H.R.H Sultan Idris Shah’ di tingkat empat bangunan Pustaka Raja Tun Uda, Seksyen 13 Shah Alam.

Paling banyak, buku biografi pemimpin dalam mahupun luar negara, daripada penghibur tersohor Allahyarham Tan Sri Dato’ SM Salim, Tan Sri P Ramlee hingga tokoh pentadbir Tun Ahmad Sarji.

Buku luar negara pula antaranya karya Sir Winston Leonard Spencer Churchill, perdana menteri Britain (1940-1945 dan 1950-1955). Antara judulnya Winston Churchill and The Art of Leadership dan How To Think Like Churchill.

Buku lain ialah biografi George V atau George Frederick Ernest Albert, Raja United Kingdom yang memegang takhta antara 1910 hingga 1936. Selain itu, buku lain berkaitan falsafah, psikologi, bahasa, teknologi, kesenian, sains, matematik dan sejarah.

Antara buku sumbangan DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang terdapat di Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam pada 23 November 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Tuanku Baginda suka baca berkenaan kepemimpinan, pemimpin luar negara terutamanya,” kata Suzliana lagi. Beliau juga mendedahkan Sultan Sharafuddin juga mengupas kandungan buku ketika menyampaikan kurniaan itu semasa membuat kunjungan rasmi atau tidak rasmi ke Pustaka Raja Tun Uda. “Tuanku jelaskan kepada kami isi kandungan buku yang dikurniakan Baginda. Jika ada 30 buku, hampir semuanya diterangkan.

“Maksudnya memang Baginda baca buku-buku berkenaan. Kecintaan Tuanku terhadap buku sangat jelas,” katanya sambil menambah Sultan Sharafuddin kerap bertanya sambutan buku kurniaan Baginda.

Telaah buku bermutu

DYMM Sultan Selangor dalam satu majlis peluncuran buku pada 2017 ada mengingatkan segenap lapisan rakyat supaya rajin menelaah buku bermutu bagi meningkatkan pengetahuan mereka.

“Janganlah hanya bergantung kepada bacaan daripada media-media sosial yang banyak mengandungi khabar angin dan berita sensasi sahaja, bukan pengetahuan yang sebenar-benarnya,” titah Baginda.

Amalan Sultan Selangor membuat kurniaan buku itu turut dicontohi anakanda Baginda, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Tengku Amir Shah dan puterinya, Yang Amat Mulia Tengku Datin Paduka Setia Zatashah.

Selain itu, hampir 300 koleksi buku kurnian kerabat ditempatkan di bahagian kanak-kanak PPAS.

Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam Nur Natasya Izzati Zakima, 23, meluangkan masa membaca buku sumbangan DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam pada 23 November 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :