Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas majlis bersama komuniti penduduk Desa Pendidik di Keramat Permai, Ampang Jaya pada 12 Disember 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri bantu penumpang bas terlibat nahas tuntut insurans

GOMBAK, 13 DIS: Kerajaan Negeri akan membantu proses tuntutan perlindungan insurans tujuh penumpang Bas Smart Selangor yang terbabit kemalangan di Jalan Kuala Selangor Batu 16, Sungai Pelong pada Sabtu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya memohon maaf kepada keluarga mangsa atas insiden yang mengakibatkan penumpang cedera.

“Kita minta maaf kepada semua keluarga yang terlibat. Insya-Allah kita akan cuba dapatkan tuntutan insurans untuk mangsa.

“Kesemua mangsa masih di hospital, ada yang serius (kecederaan),” katanya ditemui selepas mengadakan pertemuan bersama penduduk Desa Pendidik Keramat Permai AU1C, Hulu Kelang di sini semalam.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Gombak berkata pihaknya menunggu laporan penuh daripada polis yang ketika ini sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden terbabit.

“Kita kena semak kenapa benda itu (kemalangan) boleh terjadi sama ada ia disebabkan kelalaian (pemandu) atau kegagalan enjin dan masalah jalan.

“Pihak polis tengah siasat, terlalu awal kalau kita mahu sebutkan (punca) dan saya akan dapatkan maklumat yang tepat. Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan kemaskini isu ini,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 8.45 malam itu, sebuah Bas Smart Selangor yang beroperasi di kawasan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mengalami kemalangan jalan raya.

Kesemua penumpang termasuk dua kanak-kanak yang cedera dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan susulan pada malam kejadian.


Pengarang :