Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil serta Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani ketika tinjauan tanah runtuh di Batang Kali pada 16 Disember 2022. Foto ihsan Pejabat Dato’ Menteri Besar
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Negeri batal sambutan tahun baharu hormati mangsa bah, tanah runtuh

SHAH ALAM, 20 DIS: Acara sambutan tahun baharu peringkat negeri yang dijadual minggu depan dibatalkan demi menghormati mangsa dan keluarga yang terkesan musibah banjir dan tanah runtuh.

“Acara sambutan ambang tahun baharu peringkat Selangor dibatalkan demi menghormati mangsa dan keluarga yang terkesan dengan musibah banjir dan tragedi tanah runtuh Batang Kali,” kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam kenyataan.

Beliau memaklumkan Kerajaan Negeri turut menghulur bantuan kewangan berjumlah RM500,000 masing-masing kepada Kelantan dan Terengganu yang kini berdepan banjir besar.

Jelasnya, Sumbangan Bantuan Banjir #KitaSelangor 2022 sebagai tanda simpati terhadap nasib puluhan ribu mangsa di kedua-dua negeri yang terkesan akibat bencana itu.

“Selangor bersimpati dengan nasib menimpa rakyat di negeri yang dilanda musibah banjir. Setakat 8 pagi ini, angka Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menunjukkan seramai 25,353 orang di Kelantan dan 37,021 di Terengganu menjadi mangsa.

“Bagi meringankan beban atas musibah yang melanda, Kerajaan Negeri bersedia menghulurkan Sumbangan Bantuan Banjir #KitaSelangor 2022 berupa bantuan kewangan buat Kelantan dan Terengganu sejumlah RM500,000 setiap negeri,” katanya.

Amirudin berkata pihaknya melalui Skuad Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) dan Sukarelawan Selangor (SERVE) juga sedia berkhidmat untuk sebarang bentuk bantuan kemanusiaan pascabanjir.

Nadma menerusi Twitter memaklumkan mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Johor meningkat kepada 63, 415 orang setakat jam 6 pagi tadi.

Sementara itu, usaha pencarian sembilan lagi mangsa insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali yang memasuki hari kelima bersambung semula 8.30 pagi tadi.


Pengarang :