Kerja-kerja menyedut sisa cecair di dalam longkang sedang giat dilaksanakan. Foto Facebook LUAS
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri giat atasi pencemaran bau, percepat baik pulih bekalan air

SHAH ALAM, 24 DIS: Usaha pemulihan bekalan air 472 kawasan membabitkan lima wilayah negeri ini akibat pencemaran bau di Sungai Semenyih giat dilaksanakan Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar berkata langkah segera telah diambil bagi menangani pencemaran yang menyebabkan henti tugas di Loji Rawatan Air Sungai Semenyih (LRA Sg Semenyih) dan Loji Rawatan Air Bukit Tampoi (LRA Bukit Tampoi).

“Saya memohon maaf atas kejadian yang berlaku pada malam sebelum sambutan Krismas ini yang terjadi dan menyesali hakikat bahawa kemalangan di luar negeri Selangor ini turut memberi kesan kepada rakyat Selangor.

“Saya turut telah berhubung dengan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dan akan berusaha sedaya upaya memulihkan bekalan air secepat mungkin bagi kemudahan semua rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Pada jam 2 pagi, LRA Sungai Semenyih dan Sg Tampoi dihenti tugas akibat dari tumpahan pati minyak wangi di Lebuhraya ELITE berdekatan Bandar Serenia di Negeri Sembilan.

Tumpahan 1000 liter pati minyak wangi tersebut telah menyebabkan pencemaran bau dan LRA terbabit terpaksa dihenti tugas bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Berikut langkah dilaksanakan Kerajaan Negeri melalui agensi Lembaga Urus Air Selangor (LUAS):

– Meletakkan 3 oil boom dan 1 kotak oil pad di sekeliling kawasan pencemaran bagi pencegahan awal

– Meletakkan 12 beg Activated Carbon (AC) bagi mengurangkan kesan pencemaran

– Menyedut sisa cecair berkenaan oleh kontraktor yang dilantik oleh LUAS dan juga bantuan dua lori tanker sedut milik pihak Indah Water Konsortium (IWK)

– Melepaskan air Empangan Sg Semenyih pada kadar 360 juta liter sehari (JLH) bagi tujuan meningkatkan kadar pencairan di Sg Semenyih untuk mengurangkan kesan bau pencemaran.

– Pihak Air Selangor juga sedang menggerakkan 85 buah lori tangki air ke kawasan yang terkesan serta turut mengerakkan tangki statik bagi membantu meringankan beban pengguna.

 


Pengarang :