Oleh DIANA ABD WAHAB
SHAH ALAM, 12 DIS: Kerajaan Negeri akan meluluskan peruntukan hampir RM3 juta bagi menangani masalah pencemaran bau berpunca dari tapak pelupusan sampah haram di Taman Bukit Jalil.
Dato’ Menteri Besar berkata langkah itu bertujuan menyelesaikan masalah yang menjejaskan lebih 10,000 penduduk sekitar yang terpaksa menghidu bau busuk saban hari.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, rawatan air menggunakan semburan enzim ‘efektif mikrob’ telah dijalankan bagi mengurangkan kesan bau ‘leachate’ atau air sampah yang mengalir ke dalam kolam takungan.
“Kerajaan Negeri tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas serta tidak menolak kemungkinan mengeluarkan Notis 8A iaitu tindakan merampas tanah.
“Arahan juga dikeluarkan kepada Jabatan Alam Sekitar supaya tindakan segera diambil terhadap pihak bertanggungjawab,” katanya menerusi Facebook.
Amirudin berkata juga berkata pemilik tanah serta pihak berkaitan sudah diberi amaran keras.
Baru-baru ini, berlaku pencemaran bau berikutan tapak pelupusan sampah haram yang tidak beroperasi sejak dua tahun lalu mula mengalirkan air sisa kumbahan dan meninggalkan bau busuk.