EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 1 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri lulus projek perkilangan tertinggi, sedia bantu kawasan luar bandar

SHAH ALAM, 1 DIS: Selangor meluluskan projek perkilangan tertinggi berbanding negeri lain dalam tempoh Januari hingga Jun lalu, walaupun berada pada kedudukan kedua selepas Johor.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berkata sebanyak 118 projek dicatatkan di Selangor dengan nilai pelaburan RM4.88 bilion sementara Johor merekod 68 projek berjumlah RM6.67 bilion.

Beliau menjelaskan kedua-dua negeri mempunyai kekuatan sama meliputi lokasi strategik, kemudahan pelabuhan dan jaringan jalan raya meluas yang menghubungkan setiap kawasan.

“Dalam menarik pelaburan, Selangor dan Johor mempunyai kekuatan lebih kurang sama. (Cuma) di Johor, kawasan industri lengkap kemudahan asrama pekerja dan harga tanah industri juga jauh lebih murah berbanding Selangor,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Sungai Burong Dato’ Shamsudin Lias berhubung punca-punca jumlah pelaburan di Selangor jatuh ke kedudukan kedua selepas Johor.

Dalam pada itu, Chang Khim berkata Kerajaan Negeri bersedia merancakkan pelaburan di kawasan luar bandar seperti Sungai Burong dan Kuala Selangor jika ada keperluan.

“Di kedua-dua kawasan ini belum ada potensi untuk menarik pelaburan bagi perkilangan kerana perlu ikut permintaan. Jika ada pelaburan seperti bekalan makanan, sudah tentu kita bantu,” katanya.


Pengarang :