Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) meninjau kolam takungan yang terletak berhampiran tapak pelupusan sampah haram di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, Subang Jaya pada 5 Disember 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Negeri mulakan kerja awalan kurang pencemaran bau di Taman Puncak Jalil

SHAH ALAM, 7 DIS: Kerajaan Negeri sudah memulakan kerja-kerja awalan di kolam takungan dan tapak sampah haram di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan bagi mengurangkan kesan pencemaran bau.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata kerja pencairan dan rawatan air menggunakan enzim efektif mikrob (EM) dilakukan di kolam takungan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Penggunaan enzim EM bertujuan bagi rawatan air di kolam takungan JPS dan longkang yang berdekatan,” katanya menerusi Facebook hari ini.

“Selain itu, kita juga memastikan aliran air larian permukaan tidak memasuki kolam takungan yang sedia ada. Selain itu, menutup aliran air keluar dari tapak sampah Bukit Serdang keluar daripada kolam takungan.”

Kerja pencairan dan rawatan air menggunakan enzim efektif mikrob (EM) giat dilakukan di kolam takungan Jabatan Pengairan dan Saliran bagi mengurangkan kesan pencemaran bau yang berpunca daripada tapak pelupusan sampah haram di Taman Puncak Jalil. Foto Facebook Ng Sze Han

Baru-baru ini, berlaku pencemaran bau sekitar Taman Puncak Jalil berikutan tapak pelupusan sampah haram yang tidak beroperasi sejak dua tahun lalu mula mengalirkan air sisa kumbahan dan meninggalkan bau busuk.

Insiden itu mendapat perhatian Dato’ Menteri Besar dan terus mengadakan lawatan ke tapak pelupusan sampah haram itu pada 5 Disember lalu.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan Kerajaan Negeri akan membina ban di tapak pelupusan sampah haram tersebut bagi mengelak air sisa kumbahan mengalir ke kolam berhampiran.

Jelasnya, penyelesaian jangka pendek itu diharap mengurangkan keresahan kira-kira 10,000 penduduk sekitar termasuk Bukit Serdang 5 yang terpaksa menghidu bau busuk saban hari.


Pengarang :