EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau bergambar bersama wakil rumah kebajikan yang menyertai Program Sinergi Prihatin cubaan memecahkan rekod ‘Most Participants in Welfare Home Safety Training” dalam Malaysia Book of Records di Dewan Jubli Perak Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 16 Disember 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Negeri peruntuk RM37,000 latih penghuni rumah kebajikan hadapi bencana

SHAH ALAM, 17 DIS: Kerajaan Negeri memperuntuk RM37,000 bagi menjamin keselamatan penghuni rumah kebajikan dalam program yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records.

Menerusi program Most Participants In Welfare Home Safety Training, seramai 60 sukarelawan memberi latihan kebakaran serta banjir kepada 281 penghuni terlibat.

EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau berkata inisiatif itu merupakan persediaan berdepan bencana terutama membabitkan premis yang menempatkan ramai individu.

“Tahun lalu Selangor berdepan cabaran bencana dalam dan banjir kilat. Hari ini juga berlaku kejadian tanah runtuh (Batang Kali), kejadian yang kita tidak mahu berlaku.

“Jadi program hari ini memberi kesedaran untuk semua bersedia berdepan bencana. Kalau kita mempunyai pengetahuan, kita dapat membantu diri dalam keadaan mendesak,” katanya pada perasmian majlis berkenaan.

Ganabatirau yang juga ahli parlimen Klang berkata program dilengkapi latihan praktikal mampu memberi gambaran jelas kepada penghuni untuk mengambil tindakan sepatutnya ketika berlaku kecemasan. Modul Keselamatan dan Kesihatan ini dibangunkan Ketua Sukarelawan Prof Madya Ts Dr Mohamad Fahmi Hussin.

“Selangor memiliki masyarakat pelbagai lapisan dan latar belakang. Justeru kita melihat perlunya program ini diadakan. Kita mahu santuni rakyat secara menyeluruh,” katanya.

Program julung kali itu melibatkan kerjasama Persatuan Cakna Anak Malaysia dan Kumpulan Kids Campus selain mendapat tajaan Lotus’s Malaysia, Unique Fire Industry, Proguide, Mylandy, Honda BRV Club dan McDonald’s Malaysia.


Pengarang :