EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud (kanan) ditemani Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) Gan Pei Nei menyampaikan sijil kepada graduan Anak Istimewa Selangor (AnIS) sempena majlis perasmian sambutan Hari Kanak-Kanak anjuran YAWAS di Prasekolah AnIS Seksyen 7, Shah Alam pada 27 November 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Negeri peruntuk RM4 juta tubuh yayasan perkasa seluruh warga OKU

SHAH ALAM, 3 DIS: Kerajaan Negeri bakal menubuhkan Yayasan Insan Istimewa Selangor (YaNIS) tahun depan bagi memperkasa orang kurang upaya (OKU) di setiap peringkat.

EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud berkata yayasan itu bertujuan memperluas inisiatif, program dan aktiviti seluruh warga OKU dengan peruntukan RM4 juta.

“Jika sebelum ini kebanyakan inisiatif hanya terhad kepada OKU berusia 18 tahun ke bawah tetapi kali ini YaNIS kita memperluaskan kepada semua golongan OKU.

“Kerajaan Negeri tidak mahu sekadar berpuas hati dengan memberi tumpuan kepada aspek kebajikan seperti pemberian bantuan kewangan secara one-off, sebaliknya kita juga komited menekankan aspek pemberdayaan dan pengupayaan OKU dengan lebih serius,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari OKU peringkat Selangor yang disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini.

Dr Siti Mariah berkata Kerajaan Negeri juga bakal menambah nilai Bantuan Khas Anak Istimewa Selangor dengan menawarkan tambahan manfaat kepada keluarga yang mempunyai anak OKU.

“Bantuan itu berupa rawatan perubatan di hospital pakar yang akan membantu ibu bapa yang mempunyai anak OKU bagi mendapatkan rawatan kecemasan di fasiliti swasta,” katanya.


Pengarang :